skip to Main Content

Updates For Students of Al-Hadi Academy (Solat-based courses)

Latest update: 29th January 2019

Halaman ini ialah wadah untuk mendapatkan maklumat terkini berkenaan dengan kursus-kursus solat yang kami jalankan di pusat pengajian kami. Info yang diletakkan berfungsi sebagai:

  1. Maklumat tambahan yang perlu diletakkan
  2. Jawapan dan rujukan bagi soalan-soalan yang sering ditanya ketika menjalankan kursus
  3. Pembetulan kepada mana-mana kesilapan yang tidak disengajakan ketika menjalankan kursus serta pada mana-mana bahagian buku yang dicetak

Bacaan Audio Tahiyyat Awal / Tahiyat Akhir

Untuk memudahkan hafalan, setiap satu ayat di dalam audio ini diulang bacaannya sebanyak 40 kali.

Tulisan yang digelapkan (bold) adalah bacaan yang paling minimal (wajib) untuk dibaca ketika tahiyyat akhir. Namun sekiranya mampu, sebaiknya dibaca keseluruhannya.

اَلتَّحِيَّاتُ الْمُبَارَكَاتُ الصَّلَوَاتُ الطَّيِّبَاتُ ِللهِ،

السَّلاَمُ عَلَيْكَ اَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ،

السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِاللهِ الصَّالِحِيْنَ،

أَشْهَدُ اَنْ لَّا إِلَهَ إِلاَّاللهُ وَاَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَّسُوْلُ اللهُ،

ٱللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى سَيِّدِنَا اِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا اِبْرَاهِيْمَ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى سَيِّدِنَا اِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا اِبْرَاهِيْمَ فِى الْعَالَمِيْنَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ

Attahiyyaatul mubaarakaatus solawatut thoyyibaatu lillaah. Assalaamu ‘alaika ayyuhan nabiyyu warahmatullaahi wabarakaatuh. Assalaamu ‘alainaa wa ‘alaa ‘ibadillaahis solihiin. Asyhadu allaa ilaaha illallaah. Wa asyhadu anna muhammadar rasuulullaah. Allahumma solli ‘alaa sayyidinaa Muhammad wa ‘alaa aali sayyidina Muhammad. Kamaa sollaita ‘alaa sayyidinaa ibraahiim wa ‘alaa aali sayyidinaa ibraahiim. Wa baarik ‘alaa sayyidinaa muhammad wa ‘alaa aali sayyidinaa muhammad. Kamaa baarakta ‘alaa sayyidinaa ibraahiim wa ‘alaa aali sayyidinaa ibraahiim. Fil ‘aalamiina innaka hamiidum majiid”

Artinya: “Segala kehormatan, keberkatan, selawat dan kebaikan adalah milik Allah. Semoga keselamatan, rahmat Allah dan berkat-Nya ke atas mu, wahai Nabi (Muhammad ). Semoga keselamatan (dilimpahkan) ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku bersaksi bahwa tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Dan aku bersaksi bahwa Nabi Muhammad adalah utusan Allah. Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada penghulu kami, Nabi Muhammad dan ke atas ahli keluarga Nabi Muhammad Sebagaimana Engkau telah memberi rahmat kepada Nabi Ibrahim ‘alaihissalam dan ke atas keluarga Nabi Ibrahim ‘alaihis salam. Dan berkatilah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas ahli keluarga Nabi Muhammad . Sebagaimana Engkau telah memberkati ke atas Nabi Ibrahim ‘alaihissalam dan ke atas keluarga Nabi Ibrahim ‘alaihis salam. Di seluruh alam semesta Engkaulah Yang Terpuji dan Maha Mulia.

Audios (mp3)

Ayat 1: Klik Sini

Ayat 2: Klik Sini

Ayat 3: Klik Sini

Ayat 4: Klik Sini

Ayat 5: Klik Sini
—> (Bacaan Tahiyat Awal Sampai Di Sini / Begitu juga bacaan Tahiyat Akhir yang paling minimal adalah di Ayat 5 ini (tidak termasuk selawat ke atas keluarga Nabi sollallahu ‘alaihi wa sallam)

Ayat 6: Klik Sini

Nota: Seberapa yang mampu, buat lah sunat-sunatnya sekali supaya dapat lebih pahala. Namun jika berada di peringkat permulaan untuk dirikan solat, atau dalam keadaan suntuk waktu, tidak mengapa untuk membaca yang wajib sahaja.


Doa Selepas Tasyahud Akhir Sebelum Memberi Salam (in bold):

 عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم : ( إِذَا تَشَهَّدَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنْ أَرْبَعٍ ، يَقُولُ :

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

“Allahumma Inni A’uudzubika min ‘adzaabi jahannam, wa min ‘adzaabil qabr, wa min fitnatil mahyaa wal mamaat, wa min syarri fitnatil masiihid dajjal”

“Ya Allah aku berlindung denganMu dari azab neraka jahannam, dan dari azab kubur, dan dari fitnah kehidupan dan kematian, dan dari kejahatan dan fitnah Al-Masih Al-Dajjal”


Panduan Solat & Bersuci Untuk Pesakit oleh JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)

Panduan Bersuci & Solat Untuk Pesakit (Klik di sini)


Panduan Istinjak

  • Termasuk perbincangan mengenai beristinjak dengan benda kesat beserta dengan syarat-syaratnya.
  • Tisu basah. Boleh digunakan atau tidak? Bagaimana cara untuk gunakannya untuk sahkan istinja’nya?

(Klik di sini)


Isu Solat Atas Kerusi Untuk Solat Fardhu Bagi Mereka Yang Sakit

“Pesakit boleh memilih untuk melaksanakan ibadah menurut Mazhab Syafie sepenuhnya atau menurut mazhab lain dalam bahagian-bahagian tertentu sekali pun ia mengakibatkan berlaku percampuran di antara Mazhab yang diistilahkan sebagai talfiq.

Walaupun hukum berkenaan talfiq di antara Mazhab ini secara umumnya diperselisihkan di kalangan ilmuan Islam namun pandangan yang mengharuskan talfiq boleh digunapakai terutamanya ketika wujud keperluan di dalam perlaksanaan ibadah”

– Petikan daripada buku Panduan Bersuci dan Solat dari JAKIM & Panduan Bersolat, Bersuci & Berpuasa Bagi Pesakit dari Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang.

Keadaan Pertama: Mampu Berdiri DAN Rukuk Seperti Biasa, Tetapi Tidak Mampu Sujud

Cara 1:

Berdiri dan rukuk seperti biasa, kemudian ketika hendak sujud, barulah duduk di kerusi atau lantai dan menundukkan badan serta menghampirkan dahi semampunya ke tempat sujud.

Petikan 1: Daripada Buku Panduan Bersuci dan Solat dari JAKIM (Jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia)

Petikan 2: Kitab Al-Mughni, Ibnu Qudamah rahimahullah

ومن قدر على القيام ، وعجز عن الركوع أو السجود ، لم يسقط عنه القيام ، ويصلي قائما ، فيومئ بالركوع ، ثم يجلس فيومئ بالسجود . وبهذا قال الشافعي

Penjelasan daripada terjemahannya

“Dan sesiapa yang mampu berdiri tetapi tidak mampu rukuk ATAU sujud (seperti biasa), maka tidak gugur kewajipan untuk berdiri. Dia mesti mulakan solat dengan keadaan berdiri, kemudian rukuk dengan cara isyarat (buat sekadar kemampuannya), (lakukan iktidal seperti biasa) kemudian dia duduk lalu melakukan sujud dengan cara isyarat juga. Dan dengan cara demikianlah berkatanya Imam Asy-Syafie’ rahimahullah

Petikan 3:

Penjelasan

Gambar Kedua (Bahagian Kiri: As-Shura At-Thaniah): Seseorang yang mampu berdiri dan rukuk (seperti biasa) tetapi tidak mampu sujud. Maka dia solat seperti biasa (ketika berdiri dan rukuk), apabila beliau ingin sujud, dia duduk di kerusi dan sujud sekadar kemampuannya.

Petikan 4: Fatwa Dari Ifta, Arab Saudi

ومن عجز عن السجود وحده ركع وأومأ بالسجود 

Penjelasan daripada terjemahannya

“…… Sesiapa yang hanya tidak mampu sujud (tetapi mampu berdiri dan rukuk), maka dia rukuk (seperti biasa) dan melakukan sujud dengan isyarat (iaitu bongkok badan ke hadapan untuk dekatkan dahinya ke bumi sekadar yang dia mampu)”

Sumber: http://www.alifta.net/Fatawa/fatawaChapters.aspx?languagename=ar&View=Page&PageID=55&PageNo=1&BookID=16 

Cara 2:

Berdiri seperti biasa. Kemudian lakukan pergerakan rukuk dua kali: sekali untuk rukuk & sekali lagi untuk gantikan sujud (lebihkan tunduk ketika sujud daripada tunduknya ketika rukuk)

Petikan : Kitab Mughnil Muhtaj – Syeikh Shamsuddin Al-Khatib As-Syirbini (Kitab Mazhab Syafie’)

وَلَوْ قَدَرَ عَلَى الرُّكُوعِ دُونَ السُّجُودِ أَتَى بِهِ مَرَّتَيْنِ: مَرَّةً لِلرُّكُوعِ وَمَرَّةً لِلسُّجُودِ، وَإِنْ قَدَرَ عَلَى زِيَادَةٍ عَلَى الرُّكُوعِ لَزِمَهُ أَنْ يَقْتَصِرَ فِي الرُّكُوعِ عَلَى حَدِّ الْكَمَالِ وَيَأْتِيَ بِالزِّيَادَةِ لِلسُّجُودِ، وَمَنْ قَدَرَ عَلَى الْقِيَامِ وَالِاضْطِجَاعِ فَقَطْ قَامَ بَدَلَ الْقُعُودِ
قَالَ فِي الرَّوْضَةِ عَنْ الْبَغَوِيِّ: لِأَنَّهُ قُعُودٌ وَزِيَادَةٌ، وَأَوْمَأَ بِالرُّكُوعِ وَالسُّجُودِ إمْكَانَهُ وَتَشَهَّدَ قَائِمًا

Penjelasan daripada terjemahannya

“Dan sekiranya ia mampu untuk rukuk (seperti biasa) tetapi tidak mampu untuk sujud (seperti biasa), maka dia melakukannya (rukuk) dua kali: Sekali untuk rukuk dan sekali untuk (menggantikan) sujud.

Sekiranya dia mampu untuk melebihkan (tunduk) rukuknya, wajib ke atasnya untuk menghadkan tunduk rukuknya kepada had rukuk yang sempurna (minimal: iaitu tapak tangan dapat menyentuh lutut), kemudian tunduk rukuknya (yang menggantikan sujud) perlu lebih rendah (dari rukuk).

Sesiapa yang mampu untuk berdiri dan berbaring sahaja (maknanya: tidak mampu duduk), maka dia solat dalam keadaan berdiri sahaja, sebagai menggantikan duduk.

Berkata Al-Baghawi yang dipetik dalam kitab Ar-Raudhah: Kerana ianya (perbuatan berdiri itu) mengandungi (kedudukan) duduk dan lebih dari itu… Dia rukuk & sujud dengan isyarat… dan melakukan tasyahhud secara berdiri

Keadaan Kedua: Mampu Berdiri Tetapi TIDAK MAMPU Rukuk dan Sujud:

CARA 1

Petikan 1: Daripada Buku Panduan Bersuci dan Solat dari JAKIM (Jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia)

Petikan 2: Kitab Al-Ma’uunah

قال في “المعونة” 2/414: ” ومن قدر على قيامٍ وقعودٍ دون ركوعٍ وسجود، أومأ بركوعٍ قائما، وسجودٍ قاعدا
 

Penjelasan daripada terjemahannya

“Sesiapa yang mampu berdiri dan duduk tetapi tidak mampu rukuk & sujud (seperti biasa), maka dia rukuk dengan isyarat secara berdiri, dan sujud secara duduk

CARA 2

Petikan 1: Fatwa Dari Ifta, Arab Saudi

من عجز عن الركوع والسجود أومأبهما ، ويجعل السـجود أخفض منالركوع
 

Penjelasan daripada terjemahannya

“Sesiapa yang tidak mampu rukuk dan sujud (tetapi mampu berdiri), maka dia lakukan keduanya (rukuk dan sujud) dengan isyarat (iaitu bongkok badan ke hadapan ketika sedang berdiri), dan bongkoknya ketika isyarat sujud lebih rendah dari bongkoknya ketika isyarat rukuk

Sumber: http://www.alifta.net/Fatawa/fatawaChapters.aspx?languagename=ar&View=Page&PageID=55&PageNo=1&BookID=16 

Keadaan: Tidak Mampu Berdiri Tetapi Mampu Solat Secara Duduk Di Bumi/Lantai Termasuk Sujud Seperti Biasa Tanpa Mudharat Atau Sakit

Petikan: Fatwa Dari Darul Ifta, Mufti Mesir

أمَّا من كان جلوسُه على الكرسي يمنعه من السجود الذي كان يستطيعه لو جلس على الأرض، فإنه يجب عليه حينئذٍ أن يصلي جالسًا على الأرض لإتمام هيئة السجود، وصلاته على الكرسي حينئذٍ حرامٌ، فإن كان جلوسه على الأرض يؤذيه ويضره فلا حرج عليه شرعًا أن يومئ للركوع والسجود وهو جالسٌ على الكرسي

Penjelasan daripada terjemahannya

“Sekiranya sesiapa yang bersolat dalam keadaan duduk atas kerusi akan menghalangnya daripada sujud seperti biasa, sedangkan dia mampu untuk bersolat secara duduk di atas bumi (dan dapat menyempurnakan sujud seperti biasa), maka ketika itu wajib ke atasnya untuk solat secara duduk di atas bumi untuk menyempurnakan sujudnya itu. Maka solat di atas kerusi ketika itu haram (untuk dirinya).

Sekiranya duduknya beliau di atas bumi itu menyakitkannya atau memudharatkannya, maka menurut syarak, tiada masalah ke atasnya untuk solat di atas kerusi dengan melakukan pergerakan secara isyarat ketika rukuk dan sujud”

Sumber: http://www.dar-alifta.org/AR/ViewFatwa.aspx?ID=13432&LangID=1&MuftiType=0


Isu Mahram Bagi Anak Luar Nikah Dengan Bapa Biologikalnya

Nukilan dari fatwa di Malaysia:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-57 yang bersidang pada 10 Jun 2003 telah membincangkan mengenai Anak Tak Sah Taraf. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:

a. Anak Tak Sah Taraf ialah:

Anak yang dilahirkan di luar nikah; sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan.

Anak dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh).

b. Anak tak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut. Oleh itu mereka tidak boleh pusaka mempusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali.

Namun begitu, jika anak tak sah taraf itu adalah perempuan, lalu ibunya berkahwin dengan lelaki yang ibu itu berzina dengannya, kemudian ibu itu telah disetubuhi oleh suaminya yang sah tersebut, maka status anak itu adalah menjadi mahram kepada suami ibunya. Hubungan anak itu dengan lelaki tersebut adalah hubungan bapa tiri.

Catatan Penulis: Maka itu, oleh kerana statusnya adalah mahram kepada ayah tirinya (iaitu ayah biologikal), maka beliau boleh bersalaman  dengannya dan tidak membatalkan wuduk mereka berdua. Begitu juga sekiranya ibunya melahirkan anak-anak selainnya, maka mereka itu semua dianggap sebagai adik beradik seibu, iaitu mahram kepadanya. Maka boleh juga bersalaman bersama dengan mereka tanpa batal wuduk.

Namun sekiranya dia ingin bernikah nanti, bapa tirinya tidak boleh menjadi wali kepadanya. Perlu diserahkan kepada wali hakim. Begitu juga apabila bapa tirinya meninggal dunia, dia tidak tergolong sebagai ahli waris yang mewarisi harta bapa tirinya. Jika ibunya yang meninggal dunia, dia masih diangap sebagai ahli waris kepada ibunya.


Isu Bagi Menentukan Samada Seseorang Itu Dianggap Tidur Ataupun Tidak (Untuk Tahu Batal Wuduk Atau Tidak)

Sekiranya hanya mengantuk, di mana dia masih boleh mendengar perbualan orang sekeliling tanpa memahami perbualan mereka, maka itu tidak dianggap sebagai tidur. Maka wuduknya masih sah dan tidak batal sekiranya masih dalam keadaan wuduk sebelum mula mengantuk.


Koleksi Doa-Doa Yang Disunatkan Ketika Istinjak dan Berwuduk

Petikan daripada kitab Al-Adzkar, Imam An-Nawawi rahimahullah. Sila klik sini untuk download.


Buku-Buku Terbitan Al-Hadi Academy

Alhamdulillah, disebabkan keperluan yang wujud sejak pada bulan Disember lalu (2017), dengan bantuan dan izin Allah, kami telah menerbitkan 7 naskah buku untuk digunakan dalam kursus-kursus yang kami jalankan. Setakat ini buku-buku tersebut ialah:

  1. Panduan Mudah Solat & Bersuci (ISBN: 978-981-11-6316-6)
  2. Panduan Ringkas Solat Berjemaah (ISBN: 978-981-11-6318-0)
  3. Panduan Ringkas Solat Jenazah (ISBN: 978-981-11-6319-7) – 2nd Edition: ISBN: 978-981-11-6776-8
  4. Panduan Ringkas Fiqh Musafir (ISBN: 978-981-11-6320-3)
  5. Asas Aqidah – Penerapan Di Dalam Kehidupan Seharian (ISBN: 978-981-11-6371-5)
  6. Panduan Ringkas Solat Sunat (ISBN: 978-981-11-6960-1)
  7. Pendinding Diri Dari Gangguan Makhluk Halus (ISBN: 978-981-11-6317-3)

Bagi para pelajar kelas-kelas solat yang pernah menggunakan buku ‘Nota Tambahan Solat’ yang tipis itu, digalakkan supaya mendapatkan buku solat yang terkini di atas (Panduan Mudah Solat & Bersuci).

Back To Top
×Close search
Search