skip to Main Content

Sekiranya makmum ketinggalan di dalam solat jenazah bersama dengan imam, maka perkara ini boleh berlaku di dalam salah satu daripada 2 keadaan tersebut:

 

1) Makmum Muwafiq

Definisi: Makmum muwafiq ialah makmum yang sempat bertakbir sejurus selepas imam bertakbir takbiratul ihram (yg pertama).

  • Makmum perlu selesaikan bacaan Surah Al-Fatihah pada takbir pertama bersama imam. Sekiranya imam sudah takbir yang kedua, makmum masih perlu untuk selesaikan fatihahnya sebelum dia melakukan takbir yang kedua.
  • Jika ia tertinggal lebih dari dua takbir daripada imam, batal solatnya sekalipun kerana uzur. Contoh: Kalau imam dalam takbir ketiga sedangkan makmum masih dalam takbir yang pertama, maka masih sah solatnya. Tetapi jika imam telah berpindah ke takbir keempat dan makmum muwafiq masih dalam takbir pertama, batal solatnya.
  • Makmum yang tidak ada uzur, sah solatnya jika terlewat hanya satu takbir sahaja. Contoh: Kalau Imam sedang dalam takbir yang kedua sedangkan makmum masih dalam takbir yang pertama, maka solatnya masih sah. Tetapi jika imam melafazkan takbir ketiga, makmum masih dalam takbir pertama, batal solat makmum kecuali ia segera melafazkan takbir kedua.

 

2) Makmum Masbuq

Definisi: Makmum masbuq ialah makmum yang tidak sempat bertakbir bersama imam serta tidak sempat selesaikan bacaan Al-Fatihahnya di dalam takbir yang pertama.

  • Sebaik sahaja makmum takbir untuk solat jenazah, hendaklah ia segera membaca Al-Fatihah. Kalau tidak sempat menghabiskan Al-Fatihahnya kerana imam mula berpindah ke takbir yang seterusnya, maka hendaklah ia tinggalkan bacaan Fatihah itu dan terus bertakbir untuk takbir seterusnya kerana bacaan Al-Fatihahnya ditanggung oleh imam.
  • Kemudian dalam takbir makmum yang kedua, ia membaca selawat ke Nabi ﷺ. Kemudian dalam takbir makmum yang ketiga, ia membaca doa ke atas mayat, dan begitulah seterusnya.
  • Oleh itu, mana-mana takbir yang ia tertinggal, dia masih perlu melaksakan takbir-takbir tersebut bersama bacaannya selepas imam memberi salam.

Contoh: Dia masuk dalam takbir yang kedua. Lalu segera membaca Al-Fatihah. Samada sempat selesai ataupun tidak Fatihahnya, dia perlu bertakbir sekiranya imam sudah takbir untuk seterusnya.

Dalam takbir imam yang ketiga, makmum masbuq baru takbir yang kedua. Maka waktu itu, makmum membaca selawat ke atas Nabi ﷺ.

Bila imam takbir yang keempat, makmum masbuq ini takbir yang ketiga untuknya. Maka dia baca doa untuk mayat sewaktu itu.

Selesai imam memberi salam, makmum masbuq mula takbir yang keempat dan baca doa ke atas mayat. Kemudian dia memberi salam.

Nota: Apabila makmum masbuq sudah berada di dalam solat, ia tidak boleh bertakbir sebelum imam bertakbir untuk takbir seterusnya. Contoh: Makmum masbuq masuk dalam takbir imam yang ketiga. Selesai makmum membaca Fatihah dia terus takbir untuk kedua (baginya) sedangkan imam belum pun bertakbir untuk takbir keempat. Maka batal solatnya dalam keadaan begini. Ini berbeza dengan keadaan makmum muwafiq di atas.

 

Wallahu ‘Alam

Back To Top
×Close search
Search