skip to Main Content
(+65) 9775-5552 info@alhadi.sg
Usahlah Segan Untuk Belajar Agama

Usahlah Segan Untuk Belajar Agama

Usahlah segan untuk mengaku kekurangan ilmu di dalam diri ini.

Apa yang penting kita mahukan redha Ilahi.

Redha Allah dapat menyelamatkan kita di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat nanti.

Belajar agama bukan untuk anak-anak sahaja.

Tetapi untuk juga kita yang sudah digelar ibu dan bapa.

Masih banyak lagi perkara yang kita masih belum tahu walaupun kita kadang kala rasakan sebaliknya.

Ilmu yang wajib dipelajari oleh setiap orang Islam Fardhu ‘Ain namanya.

Ramai sangkakan asal sudah tahu istinjak, wuduk, mengaji, solat, zakat, puasa, naik haji, maka sudah sempurnalah agamanya.

Sedangkan tiap-tiap hari, boleh jadi kita mencuri tulang sewaktu bekerja tanpa kita sedari sedangkan ianya menjejaskan gaji yang kita suapkan makan minum pada diri dan anak isteri.

Boleh jadi kita melakukan perniagaan tapi hukum hakam mu’amalat langsung kita tak pernah ambil kira atau pelajari.

Boleh jadi kita dah nak berumah tangga tetapi hukum hakam fiqh munakahat masih lagi samar-samar atau tidak ketahui secara pasti.

Boleh jadi kita jalani kehidupan seharian kita dengan selalu mengata pasal rakan kerja yang kita tidak suka dengan perangai mereka, dan itu adalah dosa ghibah (mengumpat) yang kita tidak sedari dilakukan tiap-tiap hari.

Boleh jadi kita rasa bangga pergi ke masjid berkali-kali namun kita sentiasa berhasad dengki sesama sendiri tanpa kita sedari.

Boleh jadi kita gelarkan diri kita dengan gelaran dari golongan yang terbaik dan terselamat tetapi umpatan, cercaan, buruk sangka serta kejahilan ilmu agama kita sendiri yang kita tidak sedari itulah yang sebenarnya sedang membinasakan diri sendiri.

Sebenarnya banyak lagi yang kita belum ketahui tentang fardhu ‘ain tetapi kita rasakan sudah mencukupi.

Begitulah tipu daya iblis dan syaitan yang menggoda dan menghasut tanpa henti.

Maka sebagai peringatan kepada diri sendiri dan juga para pembaca penulisan ringkas ini, semoga kita terus belajar agama dengan cara belajar yang diredhai (dengan berguru, bukan dengan youtube dan internet) dan tidak berhenti hinggalah roh kita dijemput ke hadrat Ilahi..

Wassalam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top